
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata suspek berusia antara 47 hingga 55 tahun itu diberkas dalam serbuan dijalankan serentak antara 1.30 hingga 3.30 petang, Sabtu lalu.
“Pada serbuan pertama, polis menahan sebuah kereta Mazda di tepi Jalan USJ 19/4, Subang Jaya dan menangkap suspek pertama. Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis heroin base yang dianggarkan seberat 14.52kg dan 920g heroin.
“Serbuan seterusnya dijalankan di sebuah rumah beralamat di Seri Kembangan dan menahan suspek kedua. Hasil pemeriksaan dalam rumah itu menemui heroin base yang dianggarkan seberat 25.55kg,” katanya pada sidang media di IPK Selangor.
Hussein berkata, suspek ketiga pula ditahan di sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang dengan pemeriksaan susulan di sebuah rumah menemui heroin base seberat 7.46kg.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 47.526kg heroin base dan 920g heroin dianggarkan bernilai RM4.13 juta.”
Katanya, turut disita empat kereta dan dua motosikal dianggarkan RM166,000.
Menurut Hussein, sindiket itu mula bergiat aktif sejak awal tahun lalu dengan suspek ditahan di Pulau Pinang dipercayai dalang dan mengambil bekalan dadah dari negara jiran di Utara.
Manakala, dua suspek lain bertindak sebagai ‘transporter’ dengan bayaran RM5,000 untuk satu perjalanan, katanya.
“Semakan rekod lampau mendapati semua tangkapan memiliki rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua lagi negatif dari sebarang dadah,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman antara lima dan enam hari bermula 13 hingga 18 Julai. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.