Menteri Sarawak bimbang vape jadi alat halusinasi

Menteri Sarawak bimbang vape jadi alat halusinasi

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dari semasa ke semasa vape berkembang dan disalahguna hingga jadi alat ketagihan serta berhalusinasi.

vape
Sarawak catat kadar penggunaan vape tertinggi di Malaysia dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun.
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan perlu menggubal undang-undang mengharamkan penggunaan vape yang kini semakin membimbangkan, terutama apabila disalahgunakan dengan campuran bahan terlarang seperti dadah sintetik.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata antara perkara utama perlu diberi perhatian ialah aspek pelaksanaan penguatkuasaan dan kawalan dari sudut kesihatan awam, bagi memastikan vape tidak terus menjadi ancaman kepada masyarakat khususnya generasi muda.

“Pada awal kemunculannya vape dilihat sebagai alternatif baik kepada rokok, namun dari semasa ke semasa ia berkembang dan disalahgunakan hingga menjadi alat untuk ketagihan serta berhalusinasi,” katanya menurut Bernama.

Beliau yang juga pengerusi Pemadam Negeri Sarawak berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD), di Kuching.

Karim berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius dari sudut perundangan sama ada vape wajar diharamkan sepenuhnya atau hanya membenarkan penggunaan vape yang mengandungi nikotin, seakan rokok.

“Semuanya bergantung kepada keputusan tersebut, mungkin tidak wajar juga untuk mengharamkan vape secara total, namun jika ia melibatkan bahan terlarang seperti ‘(magic) mushroom’ dan sebagainya, undang-undang yang tegas perlu diwujudkan,” katanya.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, Sarawak mencatatkan kadar penggunaan vape tertinggi di Malaysia dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, dengan kadar prevalens 20.3% melibatkan 39,608 individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.