
Beliau berkata, buat masa ini, Putrajaya masih mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai pilihan jangka panjang dan tidak melaksanakannya serta-merta disebabkan kerumitan dan aspek keselamatan teknologi itu.
“Apa yang telah diluluskan adalah untuk mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada potensi dalam campuran tenaga pada masa depan,” katanya pada Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 di sini, semalam.
Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata, kerja asas giat dilaksanakan, termasuk penanda aras antarabangsa serta penyediaan kawal selia.
“Saya telah ke United Kingdom, Perancis serta Rusia, dan kita akan ke Amerika Syarikat, China serta Korea Selatan. Kita sedang menganalisis semua teknologi yang ada serta aspek keselamatan dan alam sekitar.”
Menurutnya, penerimagunaan tenaga nuklear di Malaysia perlu melalui proses dan perjanjian antarabangsa ketat, khasnya penilaian impak alam sekitar (EIA).
Beliau turut menekankan kepentingan penerimaan awam dan tanpa sokongan padu rakyat, pilihan tenaga nuklear tidak akan diteruskan.
“Hanya selepas kita menandatangani semua 18 perjanjian antarabangsa dan jika diluluskan pada peringkat itu, barulah kita boleh pertimbang menggunakan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada bekalan tenaga.
“Kita perlu libatkan rakyat dan pastikan mereka menerima cadangan itu. Jika rakyat tidak menerimanya, maka kita tidak boleh teruskan.”
Pelaksanaan tenaga nuklear di negara ini mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun kerana perlu melalui pelbagai fasa, iaitu kawal selia, teknikal dan maklum balas awam.
Sementara itu, Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata buat masa ini, tenaga nuklear tidak relevan untuk Sarawak kerana ia mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan pelbagai.
“Kita punyai hidro, gas dan solar. Dengan apa yang kita miliki sekarang, saya fikir Sarawak tidak perlukan nuklear,” katanya selepas merasmikan sidang kemuncak IEW 2025.
Beliau berkata, Sarawak kini fokus untuk muncul hab tenaga boleh diperbaharui, menyasarkan pengeluaran hingga 15 gigawatt menjelang 2035 melalui sumber tenaga bersih sedia ada.
“Menjelang 2030, kita menetapkan sasaran sebanyak 10 gigawatt, kini kita menyasarkan 15 gigawatt menjelang 2035, hasil daripada sumber sedia ada yang kita miliki sekarang.”
Katanya, teknologi solar juga terus menunjukkan kemajuan pesat dan Sarawak berpotensi muncul hab serantau untuk mengeksport tenaga boleh diperbaharui.
Beliau turut berkongsi Sarawak sedang meneroka tenaga lakuran sebagai alternatif lebih selamat dan bersih berbanding pembelahan nuklear.