Harimau Malaya tarik diri, persiapan Piala Cafa terganggu

Harimau Malaya tarik diri, persiapan Piala Cafa terganggu

Persekutuan Bola Sepak Asia Tengah menegaskan penyertaan Malaysia disahkan lebih awal dengan kesedaran penuh terhadap tarikh dan jadual.

harimau malaya
Hari ini, FAM umum skuad kebangsaan menarik diri daripada Kejohanan Piala Negara-negara Cafa 2025. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penarikan diri Harimau Malaya daripada Kejohanan Piala Negara-negara Cafa 2025 dijadual berlangsung 29 Ogos hingga 8 Sept pada saat akhir, mengganggu kelancaran penganjuran kejohanan itu.

Persekutuan Bola Sepak Asia Tengah (Cafa) dalam kenyataan, memaklumkan mereka faham dengan alasan diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu kejohanan itu tidak berada sepenuhnya dalam jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) iaitu dari 1 hingga 9 Sept, yang menyebabkan kesukaran dalam penyediaan pemain.

Namun, menurut kenyataan itu, peraturan kejohanan dan pendaftaran akhir pemain terpilih daripada senarai awal 35 orang, boleh dikemukakan mengikut satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Ini membolehkan fleksibiliti maksimum, termasuk kemungkinan pemain utama menyertai pasukan untuk perlawanan seterusnya,” menurut kenyataan.

Cafa turut menegaskan penyertaan Malaysia sebelum ini telah disahkan lebih awal dengan kesedaran penuh terhadap tarikh dan jadual kejohanan yang tidak pernah diubah sejak awal.

Hari ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan mengumumkan keputusan menarik diri dibuat, susulan perubahan tarikh perlawanan yang kini berada di luar jendela perlawanan antarabangsa Fifa, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi logistik, ketersediaan pemain, dan persiapan keseluruhan skuad.

Walaupun Malaysia menarik diri, Cafa tetap komited menganjurkan kejohanan berkualiti tinggi dan kompetitif untuk rakyat Asia Tengah dan lainnya.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang mengambil bahagian atas sokongan dan kerjasama yang berterusan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia, yang kini berada di ranking ke-125 dunia, sepatutnya beraksi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Tajikistan, juara bertahan Iran, dan Afghanistan.

Kumpulan A pula menyaksikan Uzbekistan selaku tuan rumah bersama, Kyrgyzstan, Turkmenistan, dan Oman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.