Gamuda terima notis mula kerja projek LRT Pulau Pinang

Gamuda terima notis mula kerja projek LRT Pulau Pinang

SRS Consortium, pemegang 60% ekuiti syarikat itu, terima notis untuk mula kerja fasa pertama Laluan Mutiara.

projek laluan lrt
Pakej pertama bagi projek laluan LRT Pulau Pinang, dengan nilai kontrak sebanyak RM8.31 bilion, merangkumi skop pembinaan jajaran sepanjang 24km, dengan 19 buah stesen dan kerja-kerja sokongan berkaitan. (Gambar John Shen Lee)
GEORGE TOWN:
Gamuda Bhd telah menerima notis mula kerja (NTP) daripada MRT Corp bagi pakej kerja sivil pertama projek laluan LRT Pulau Pinang, menurut sumber terdekat.

Menurut sumber itu, notis yang dikeluarkan semalam itu membuka laluan kepada SRS Consortium, yang 60% kepentingannya dimiliki Gamuda, untuk memulakan pembinaan berskala penuh.

Projek itu meliputi jajaran 24km dari Komtar di George Town ke Pulau A bawah projek Pulau Pinang Selatan (PSI), dengan pembinaan 19 stesen dan kerja-kerja sokongan.

Notis ini menandakan permulaan rasmi kerja-kerja bagi projek LRT Pulau Pinang yang sudah bertahun-tahun tertangguh akibat pelbagai masalah.

Dengan ini, bermulalah kiraan detik untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh enam tahun.

Kontrak bernilai RM8.31 bilion itu dianugerahkan pada Januari, namun kerja-kerja pembinaan tertangguh sehinggalah MRT Corp memberi kebenaran melalui NTP tersebut.

Kerajaan persekutuan mengambil alih projek LRT ini daripada kerajaan negeri melalui MRT Corp pada Mac tahun lepas.

SRS Consortium turut dianggotai oleh Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd, masing-masing memegang 20% kepentingan. MRT Corp, sebuah unit bawah Kementerian Kewangan, ialah pemilik aset dan pengurus projek tersebut.

Laluan Mutiara akan meliputi jajaran keseluruhan sejauh 29.5km dengan 21 stesen, menghubungkan sebuah pulau tambak berhampiran lapangan terbang ke Komtar, dan seterusnya melalui jambatan menyeberangi selat ke Butterworth. MRT Corp menganggarkan kos penuhnya RM13 bilion, dengan sasaran siap menjelang 2031.

Pembinaan segmen merentasi selat dari Macallum di bahagian pulau ke Penang Sentral di Seberang Perai akan bermula pada 2026, dan dijangka siap serentak dengan baki jajaran laluan tersebut.

Laluan ini dijangka dapat menampung 60,000 penumpang setiap hari pada peringkat awal, dengan jumlah penumpang jangka panjang dijangka mencecah 168,000 orang.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini berkata, pembahagian projek kepada tiga pakej – kerja sivil di bahagian pulau, kerja sivil di tanah besar dan pakej sistem ‘turnkey’ – akan membantu melancarkan proses tender dan mengurangkan kelewatan.

Pakej kedua – segmen merentasi selat sepanjang 5.8km – telah dibuka untuk tender. Menurut MRT Corp, pembinaan bahagian ini akan bermula pada suku kedua 2026.

Pakej ketiga untuk kerja-kerja sistem telah diiklankan pada April, dan tarikh akhir serahan bidaan adalah pada 11 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.