
Dalam kenyataan, DBKL berkata ia bagi pelaksanaan kerja naik taraf Jalan 2/76, demi keselesaan serta keselamatan warga kota dengan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur dan kelancaran aliran trafik.
Katanya, bagi menyelaraskan proses pengosongan peniaga menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan, proses itu dilaksanakan melalui pendekatan libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada semua pihak termasuklah persatuan peniaga dan peniaga-peniaga.
DBKL berkata, peniaga secara rasmi diarah mengosongkan tapak pada 15 Jan.
Pada 4 Julai lalu, DBKL telah mengeluarkan notis pengosongan tapak sebagai langkah akhir sebelum tindakan perobohan dijalankan.
“Kerja perobohan sepatutnya dilaksanakan pada 15 Julai, bagaimanapun kerja tersebut ditangguhkan ekoran kekecohan yang berlaku di tapak.”
Semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun selepas bertindak mengacukan parang ke arah pegawai DBKL ketika operasi merobohkan struktur haram di Desa Pandan.
Lelaki tersebut dipercayai bersemuka dengan pegawai penguat kuasa DBKL pada 11.17 pagi semasa operasi yang turut melibatkan polis, Tenaga Nasional Berhad, dan Air Selangor.
Ketua Polis Wangsa Maju, Lazim Ismail, berkata lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai terbabit sebelum berjaya ditenangkan orang awam.