
Isham dalam hantaran di Facebook berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Rayuan hari ini.
“Hari ini Peguam Negara merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan saya dan masih bersungguh mahu saya masuk penjara atau didenda.
“Saya akan lawan,” katanya.
Hakim K Muniandy dalam membuat keputusan itu pada 8 Julai lalu berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kenyataan Isham yang dibuat pada akhir tahun 2023 menimbulkan risiko sebenar terhadap pentadbiran keadilan.
“Dakwaan pentadbiran keadilan telah terpesong atau tercemar oleh kenyataan tersebut tidak dapat diterima,” katanya.
Permohonan untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap Isham difailkan pada 28 Disember 2023, berkaitan kenyataan yang didakwa dibuat beliau dalam satu temu bual bertajuk “Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa” yang disiarkan pada 30 September melalui akaun Facebook Malaya Post.
Dalam afidavit difailkan bagi menyokong permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya Mustapha Kunyalam mendakwa Isham telah memberikan ulasan mengenai perbicaraan kes 1MDB dan SRC International melibatkan Najib, serta perjalanan rayuan akhir kes SRC di Mahkamah Persekutuan.
Isham turut didakwa menuduh Hakim Collin Lawrence Sequerah dan Nazlan Ghazali bersikap berat sebelah serta sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes-kes berkenaan.
Hakim Sequerah kini mengetuai perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi, manakala Hakim Nazlan merupakan hakim yang mensabitkan Najib dalam kes SRC.
Kedua-duanya kini berkhidmat di Mahkamah Rayuan.
Mustapha juga mendakwa Isham telah menyatakan panel lima hakim yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mendengar rayuan akhir Najib dalam kes SRC, telah mengadili kes itu secara tidak adil.