
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata empat syarikat itu adalah Carro Technology Sdn Bhd, Carsome Academy Sdn Bhd, Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.
Menurutnya, mereka dibenarkan mengendalikan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) tambahan khusus untuk Pemeriksaan Tukar Hak Milik (M.V.15) bagi kenderaan persendirian.
“Pelantikan PPKM khusus dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan M.V.15 ini salah satu usaha kerajaan menambah penawaran perkhidmatan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan dalam pasaran dan mengurangkan kesesakan di PPKM sedia ada.
“Inisiatif ini dijangka memudahkan orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan tanpa perlu bersesak di pusat pemeriksaan kenderaan sedia ada yang turut melaksanakan pemeriksaan berkala kenderaan berat,” katanya dalam kenyataan.
Kabinet pada 17 Mac 2023 bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan.
Bagi syarikat yang turut menjual beli kenderaan terpakai, Loke berkata mereka disyaratkan untuk menyediakan ruangan atau lorong pemeriksaan serta kakitangan khas bagi tujuan pengoperasian PPKM M.V.15 dan pematuhan kepada piawaian ISO/IEC 17020:2012.
“Kelulusan bersyarat yang diberikan adalah bagi tempoh 12 bulan untuk pihak syarikat membuat persediaan berdasarkan syarat ditetapkan dalam garis panduan itu.
“Dalam tempoh ini juga, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pemantauan berterusan dan lesen hanya akan diberikan setelah syarikat berkenaan memenuhi kesemua keperluan peraturan serta kelengkapan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi,” katanya.