Undang-undang larang rayuan terhadap keputusan sementara kekal

Undang-undang larang rayuan terhadap keputusan sementara kekal

Mahkamah Persekutuan menolak hak tiga ahli perniagaan untuk mencabar Seksyen 28 dan 68 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Federal Court
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran untuk merayu dikemukakan Ong Saw Yong, Chew Khor Teng dan Phang Tee Yong serta memerintahkan mereka membayar kos RM30,000 kepada kerajaan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan tiga ahli perniagaan untuk mencabar kesahihan perlembagaan dua peruntukan undang-undang mengehadkan rayuan terhadap keputusan sementara mahkamah.

Keputusan sementara merujuk kepada keputusan dikeluarkan oleh mahkamah ketika suatu kes masih berjalan dan tidak menyelesaikan keseluruhan kes secara muktamad.

Pada 2022, Ong Saw Yong, Chew Khor Teng dan Phang Tee Yong – memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar kesahan pindaan terhadap Seksyen 28 dan 68 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA), yang berkuat kuasa awal tahun itu.

Selepas pindaan itu, Seksyen 28 melarang rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan mahkamah bawahan yang menolak permohonan bagi penghakiman terus, permohonan membatalkan saman atau permohonan mengetepikan penghakiman ingkar.

Seksyen 68 pula melarang rayuan yang serupa dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan.

Ong, Chew dan Phang adalah defendan dalam tindakan sivil difailkan Pasir Bogak Sdn Bhd pada 2021 bagi menuntut kira-kira RM14.5 juta hasil penjualan tanah.

Permohonan mereka untuk membatalkan saman tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2022 dan tidak mempunyai hak merayu keputusan itu.

Mereka kemudian memfailkan saman terhadap kerajaan dengan mendakwa pindaan kepada Seksyen 28 dan 68 CJA telah melanggar hak perlembagaan mereka untuk menyatakan ketidaksetujuan terhadap keputusan mahkamah.

Namun, saman itu ditolak Mahkamah Tinggi dan rayuan ke Mahkamah Rayuan juga gagal.

Hari ini, panel tiga hakim diketuai Hakim Nordin Hassan memutuskan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu tidak mempunyai merit.

Mahkamah turut memerintahkan mereka membayar kos sebanyak RM30,000 kepada kerajaan.

Turut bersidang ialah Hakim Abu Jais Bakar dan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera.

Peguam T Manoharan mewakili Ong, Chew dan Phang manakala Peguam Persekutuan Kanan Ahmad Hanir Hambaly mewakili kerajaan.

Perbicaraan kes saman penjualan tanah itu dijadual bermula pada 6 April tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.