Turunkan iklan vape sebelum penguatkuasaan bermula, peniaga diberi amaran

Turunkan iklan vape sebelum penguatkuasaan bermula, peniaga diberi amaran

Exco Selangor Ng Suee Lim berkata, tarikh tamat tempoh budi bicara semasa akan dibincang bersama exco lain.

vape
Kerajaan Selangor masih belum memutuskan untuk mengharamkan penjualan vape secara menyeluruh kerana kajian terhadap garis panduan yang dicadangkan masih dijalankan.
SHAH ALAM:
Peniaga vape atau rokok elektronik di Selangor diberi amaran agar menurunkan iklan mempromosikan produk tersebut lebih awal bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim berkata, beliau akan berbincang dengan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin untuk menetapkan tarikh akhir tempoh yang diberikan kepada peniaga vape.

“Perkara ini akan dirujuk dan dibincangkan dengan exco kesihatan sebelum sebarang tindakan susulan diambil,” katanya kepada FMT.

Dengan keputusan berhubung iklan vape dibuat oleh kerajaan negeri bulan lepas, Ng berkata, para peniaga telah diberi masa yang mencukupi untuk menurunkan iklan vape.

“Jika selepas tempoh ini, masih terdapat pihak yang tidak mematuhi arahan, pihak berkuasa tempatan akan diarahkan untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan saman,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ng menegaskan kerajaan negeri memahami situasi ekonomi dan kesukaran yang dihadapi oleh peniaga, justeru tempoh budi bicara diberikan untuk menurunkan iklan vape.

“Namun, apabila tiba waktunya dan mereka masih enggan mematuhi undang-undang, tindakan akan diambil,” katanya.

Pada Mei Jamaliah mengumumkan semua pihak berkuasa tempatan di Selangor diarahkan untuk segera merampas dan menurunkan iklan vape sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri membendung penggunaan produk tersebut.

Jamaliah berkata, menurut laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, dianggarkan hampir 14.9% remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun di Malaysia menggunakan vape.

Bagaimanapun, kerajaan Selangor masih belum memutuskan untuk mengharamkan penjualan vape secara menyeluruh kerana kajian terhadap garis panduan yang dicadangkan masih dijalankan.

Beberapa kerajaan negeri lain telah mengambil langkah untuk mengharamkan penjualan vape sepenuhnya, termasuk Perlis, Terengganu, Kedah dan Pahang, manakala Johor dan Kelantan telah mengharamkannya masing-masing sejak 2016 dan 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.