Selangor belum muktamad kadar hasil kutipan parkir syarikat konsesi

Selangor belum muktamad kadar hasil kutipan parkir syarikat konsesi

Exco Ng Suee Lim berkata cadangan libat 4 kawasan PBT harus dirujuk dengan semua pihak terlebih dahulu.

Exco Ng Suee Lim berkata, pelaksanaan pengurusan tempat letak kenderaan secara konsesi bukanlah perkara baharu di Selangor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor masih belum memuktamadkan kadar hasil kutipan bayaran parkir kenderaan yang akan diterima syarikat konsesi Rantaian Mesra Sdn Bhd di empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim berkata, perbincangan masih berjalan setelah mendapat maklum balas daripada banyak pihak berhubung perkara itu.

“Perincian berkaitan dengan semua perkara yang meliputi aspek penilaian teknikal, kewangan, penguatkuasaan serta tadbir urus antara ketiga-tiga pihak ini sedang dimuktamadkan sebelum dijangka ditandatangani pada 1 Ogos 2025.

“Masih dalam perbincangan dan belum tandatangan kerana cadangan yang ada kena rujuk semua pihak baru puas hati,” kata Ng, yang juga Adun Sekinchan.

Sebelum ini, syarikat konsesi tersebut dilapor mahu memperoleh 50% hasil kutipan caj parkir selepas dilantik pada Mac lepas, malah ia juga akan melaporkan kenderaan yang tidak membayarnya.

Ng bagaimanapun berkata, perolehan 50% hasil kutipan oleh syarikat itu sekadar cadangan.

Empat PBT yang terlibat dalam fasa pertama pelaksanaan terdiri daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dalam pada itu, Ng berkata, penguatkuasaan akan kekal di bawah bidang kuasa PBT seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Katanya, syarikat konsesi hanya bertanggungjawab atas operasi teknikal, penyelenggaraan sistem, bayaran emolumen petugas teknikal, khidmat pelanggan dan pelaporan sistem.

“Semua tindakan penguatkuasaan termasuk pengeluaran notis kompaun akan terus dijalankan oleh pegawai PBT yang dilantik secara sah,” katanya.

Ng menegaskan bahawa pelaksanaan pengurusan tempat letak kenderaan secara konsesi bukanlah perkara baharu di Selangor, malah telah diguna pakai sejak 1996.

“Lima PBT masih melaksanakan sistem pengurusan tempat letak kereta melalui konsesi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.