Rakam aktiviti syiar Islam bukan menyanyi, pimpinan PAS diberitahu

Rakam aktiviti syiar Islam bukan menyanyi, pimpinan PAS diberitahu

AJK Dewan Ulama PAS Mokhtar Senik saran pimpinan antaranya tiru bekas menteri besar Kelantan Ahmad Yakob yang mengayuh basikal ke masjid untuk menunaikan solat.

Gambar bekas menteri besar Kelantan Ahmad Yakob berbasikal untuk menunaikan solat subuh pernah tular di media sosial suatu ketika dahulu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Mokhtar Senik mengingatkan pimpinan parti itu supaya merakam gambar aktiviti mempamerkan syiar Islam, berbanding menunjukkan kemahiran menyanyi.

Tanpa merujuk kepada pemimpin tertentu, Mokhtar berkata seeloknya pimpinan PAS meniru bekas menteri besar Kelantan Ahmad Yakob yang mengayuh basikal ke masjid untuk menunaikan solat.

Beliau turut menyarankan pimpinan PAS mengambil gambar ketika bersalaman dengan jemaah atau acara konvoi anak muda untuk menunjukkan masjid dipenuhi seakan solat Jumaat pada waktu subuh.

“Boleh juga galak ahli ke masjid dan menghayati Islam. Itu lebih baik dari mengajak anak-anak muda menyanyi sana-sini.

“Ia tak membangunkan syiar Islam pun…dari tunjuk kita pandai menyanyi lebih baik pamer kita boleh baca al-Quran,” katanya di Facebook.

Mokhtar berkata, beliau hanya menegur dan menyarankan perkara itu, namun bergantung kepada penerimaan pimpinan.

“Tak nak pakai, itu anda punya pasal. Belum tentu setiap alasan anda itu Allah terima dan ahli terima.

“Jangan ada orang tersenyum depan anda tapi hatinya menyampah. Buat apa yang Allah suruh lebih baik dari buat apa yang kita rasa betul,” katanya.

Mokhtar juga tidak menyatakan mengapa beliau mengeluaran saranan demikian.

Menjelang pemilihan dijadualkan September, Mokhtar antara pemimpin PAS kerap bersuara yang antaranya mahu pimpinan parti terus dikuasai kumpulan ulama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.