Kereta pempengaruh hilang ditemukan terjunam ke dalam sungai

Kereta pempengaruh hilang ditemukan terjunam ke dalam sungai

Lelaki yang dilaporkan hilang semalam itu bagaimanapun tidak dijumpai bersama Perodua Axia putih itu.

Perodua Axia milik pempengaruh permotoran Ija Nizaruddin ditemukan terjunam ke dalam Sungai Kampung Tui di Bukit Kepong, Muar, petang tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kereta milik seorang pempengaruh permotoran yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan di dalam sebatang sungai di Bukit Kepong, Muar.

Mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, bagaimanapun tidak ditemukan bersama Perodua Axia berwarna putih yang tenggelam di Sungai Kampung Tui itu.

Menurut rakannya, Muhammad Nazmi Mohd Zainal, 30, pihak bomba dan penyelamat sedang melakukan pencarian di dalam sungai dan dan kawasan sekitar bagi mengesan mangsa, lapor Sinar Harian.

“Isterinya ada memaklumkan yang sebelum ini suaminya pernah mengalami serangan jantung ketika memandu,” kata Muhammad Nazmi.

Tengku Nizaruddin, yang juga dikenali sebagai Ija Nizaruddin, dilaporkan keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah, Johor Bahru tengah hari semalam untuk ke bengkel rakannya di Parit Jawa.

Keluarga mangsa turut mencari beliau di sekitar Lenga, Bukit Kepong dan pekan Muar hari ini tetapi masih tiada petunjuk.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Nor Alfatah Omar berkata, setibanya di lokasi pada 3.51 petang, pasukannya mendapati terdapat sebuah Perodua Axia terjunam ke dalam sungai pada kedalaman 2m.

“Maklumat awal daripada pihak polis menyatakan kemalangan mungkin berlaku pada Isnin dan terdapat mangsa iaitu lelaki hilang dipercayai pemandu kereta.

“Kerja-kerja pencarian mangsa sedang giat dijalankan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.