

Bercakap kepada FMT, Amar berkata kedudukan sebagai timbalan presiden Bersatu dan timbalan pengerusi komponen itu sudah memadai buatnya diberi tanggungjawab itu bersama pimpinan lain.
Menurutnya, soal merangka strategi juga tidak semestinya datang dari seorang presiden atau pengerusi kerana lazimnya dibuat secara kolektif dalam pasukan.
“Strategi ini biasa dirangka bersama secara pasukan, bukan individu… jadi tak berbangkit soal pertukaran presiden,” katanya.
Namun Amar menjelaskan PAS enggan masuk campur berkait dakwaan wujud perpecahan dalam kalangan pemimpin Bersatu sama ada Muhyiddin Yassin patut kekal presiden dan pengerusi PN untuk diganti dengan Hamzah.
Semalam, FMT melaporkan pandangan penganalisis Mazlan Ali yang dipetik berkata PAS tidak menunjukkan komitmen jelas menyokong mana-mana pihak, manakala Ahmad Fauzi Abdul Hamid pula berpandangan PAS cenderung sokong Hamzah, namun parti itu enggan menimbulkan ketegangan dengan Muhyiddin dan penyokongnya.
Fauzi dipetik berkata peralihan kepimpinan lancar menjadi faktor penting kelangsungan Bersatu dan PN menjelang PRU16, selain mengelak pemusatan kuasa hanya kepada satu individu atau puak tertentu.
“Apa berlaku dalam Bersatu, pada pandangan kita tak menjejaskan ikatan dalam PN kita berkawan atas dasar parti.
“Siapa sahaja dipilih parti itu kita akan hormati,” kata Amar yang juga speaker DUN Kelantan.

Sementara itu, Ketua Wanita PAS Nuridah Salleh berkata isu peralihan pimpinan Bersatu itu dapat diselesaikan segera untuk mengelakkan pertikaian berterusan.
“Sebagai komponen bersama dalam PN yang mahu memimpin negara dengan lebih baik, saya berharap dan mendoakan segala permasalahan atau isu dalaman parti dapat diselesaikan dengan baik dan sesegera mungkin.
“Pertikaian berterusan tidak menguntungkan masa depan parti,” katanya.