
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad mengeluarkan perintah itu selepas penilaian ganti rugi dibuat, susulan pengakuan liabiliti oleh kelima-lima defendan di Mahkamah Tinggi di sini, 11 tahun lalu, menurut laporan The Edge.
Atan berkata pengakuan itu merangkumi fakta asas yang membawa kepada tuntutan, pelanggaran tugas oleh defendan, serta pelbagai salah laku lain yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan.
“Pengakuan liabiliti terhadap ‘bayaran salah’ kepada perunding membawa implikasi undang-undang yang mendalam.
“Apabila seorang defendan mengaku bayaran telah dibuat secara salah, ini pengakuan bahawa bayaran itu tidak sepatutnya dibuat dan mempunyai kaitan secara langsung dengan pelanggaran tugas oleh defendan,” kata Atan ketika membacakan penghakimannya.
Defendan lain yang turut bertanggungjawab dalam penghakiman itu termasuk:
- Shukri Baharom, bekas naib presiden eksekutif bahagian tenaga dan utiliti (E&U) kumpulan;
- Rahim Ismail, bekas ketua pegawai kewangan bahagian itu;
- Kadir Alias, bekas ketua unit perniagaan minyak dan gas E&U; dan
- Zaki Othman, bekas pengurus besar kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd.
Kelima-lima individu ini bertanggungjawab secara bersama dan berasingan untuk membayar kumpulan itu 67.811 juta Riyal Qatar (RM79.235 juta), USD2.049 juta (RM8.714 juta), dan RM1.725 juta.
Jumlah ini mewakili kerugian ditanggung kumpulan itu akibat tiga projek di bawah bahagian E&U yang mengalami lebihan kos yang besar.
Tuntutan itu difailkan pada tahun 2010 oleh Sime Darby dan empat anak syarikatnya – Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Energy Sdn Bhd, Sime Darby Marine Sdn Bhd, dan Sime Darby Marine (Hong Kong) Pte Ltd.
Tuntutan berkenaan membabitkan kerugian yang ditanggung kumpulan itu melalui projek Qatar Petroleum (QP), projek Maersk Oil Qatar (MOQ) dan Projek Marine yang melibatkan pembinaan kapal laut.
Hakim Atan berkata penilaian ganti rugi dilakukan selepas satu penghakiman persetujuan secara interlokutori dimeterai pada 13 Jun 2014.
Beliau berkata semasa prosiding penilaian itu, peguam pembela cuba menyentuh isu liabiliti, namun dihalang kerana penghakiman persetujuan telah pun direkodkan sebelum ini.
Hakim juga menolak pelbagai isu undang-undang lain yang dibangkitkan oleh pihak defendan sepanjang prosiding.
Peguam Alexius Lee dan Rhosvin Singh mewakili Sime Darby dan anak-anak syarikatnya, manakala Shaarvin Raj dan Craig Ho mewakili Zubir.
Peguam Ranjinny Andy mewakili Shukri, Jasmin Raj mewakili Rahim, dan Harvinder Singh Sidhu mewakili Kadir serta Zaki.