Program eHati: Menteri agama gesa lebih ramai saksi tampil bantu siasatan

Program eHati: Menteri agama gesa lebih ramai saksi tampil bantu siasatan

Mohd Na'im Mokhtar berkata, keterangan saksi penting agar Jais dapat jalan siasatan profesional, tanpa zalimi mana-mana pihak.

Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jais siasat dakwaan berhubung program eHati mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Selangor, manakala polis sedang pertimbang sudut kesalahan Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menggesa individu yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan program motivasi rumah tangga eHati menyimpang serta membawa pengaruh budaya songsang agar tampil membantu siasatan.

Mohd Na’im berkata, keterangan saksi penting bagi membantu penguatkuasa Jabatan Agama Is­lam Selangor (Jais) menyiasat penganjuran program terbabit dengan lebih lanjut.

“Amat penting untuk pihak yang menjadi saksi tampil bagi membantu kita melakukan siasatan yang profesional dan (memastikan) tiada mana-mana pihak dizalimi,” katanya selepas Majlis Prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-65 di Pusat Dagangan Antarabangsa (WTC).

Dalam pada itu, beliau mengesahkan dua individu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jais esok, manakala dua lagi wanita yang membuat aduan sebelum ini agak keberatan.

“Dua saksi akan dipanggil esok. Cumanya saya difahamkan dalam masa yang sama, ada dua wanita iaitu saksi awal yang buat aduan kepada Bahagian Penyelidikan Jais, macam keberatan untuk hadir beri maklumat kepada pihak kita,” katanya.

Mohd Na’im berkata, Jais menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Selangor berkaitan ajaran atau doktrin palsu.

“Bahagian Penguatkuasaan JAIS juga mengadakan kerjasama dengan polis … (yang) akan tengok daripada sudut Kanun Keseksaan ataupun kemungkinan kesalahan di bawah undang-undang sivil,” katanya.

Semalam, media melaporkan satu program motivasi dan bimbingan rumah tangga dikendalikan sepasang suami isteri didakwa menyebarkan ajaran sesat, menyasarkan wanita berkerjaya yang berdepan krisis rumah tangga.

Bekas peserta program itu mendakwa di Facebook, ajaran itu berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi buat wanita.

Pasangan suami isteri itu turut didakwa mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan menjadikan buku amalan Hindu sebagai rujukan peserta program menerusi Telegram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.