Polis percaya David Balisong masih di Malaysia

Polis percaya David Balisong masih di Malaysia

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lima individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kehilangan remaja 17 tahun itu.

David Balisong
David Balisong dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dipercayai menaiki penerbangan dari United Kingdom (UK) ke Kuala Lumpur Jun lalu tanpa pengetahuan mereka. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis giat mengesan remaja Britain dilaporkan hilang, David Balisong yang dipercayai masih berada di Malaysia.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lima individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kehilangan remaja 17 tahun itu.

“Kes masih dalam tindakan dan siasatan pihak polis, namun dia (David) dipercayai masih berada di Malaysia,” katanya menurut Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan warga Britain itu dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dipercayai menaiki penerbangan dari negara itu ke Kuala Lumpur Jun lalu tanpa pengetahuan mereka.

Remaja dari Cheadle, Greater Manchester itu memberitahu adiknya dia akan keluar awal ke sekolah kerana sedang menduduki peperiksaan GCE Peringkat A pada 6 Jun lalu.

Siasatan lanjut mendapati Balisong dipercayai menaiki bas menuju KL Sentral selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 7 Jun lalu.

Hussein dilaporkan berkata, remaja terbabit dipercayai keluar dari KLIA dan menaiki bas menuju ke ibu negara sejurus tiba di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.