Pemuda PAS Selangor kecam Nick Adams dihantar jadi duta besar AS

Pemuda PAS Selangor kecam Nick Adams dihantar jadi duta besar AS

Ketuanya Sukri Omar berkata menerima individu itu merupakan penghinaan kepada Malaysia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar seru Putrajaya menolak penamaan Nick Adams sebagai duta besar AS ke Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menerima Nick Adams sebagai duta besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia merupakan penghinaan terbuka terhadap sensitiviti rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin, kata seorang ketua Pemuda PAS.

Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar mendakwa Adams individu secara terbuka menyebar kebencian terhadap Islam dan menyokong rejim penjajah Zionis secara melulu.

Beliau turut menyatakan Adams pernah dengan bangganya mendedahkan telah menekan sebuah restoran di AS untuk memecat seorang pelayan wanita hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’.

“Sebagai sebuah negara majoriti umat Islam yang menjunjung prinsip keadilan dan solidariti terhadap rakyat tertindas, Malaysia tidak boleh menerima pelantikan seorang individu yang secara terbuka menindas mereka yang menyokong Palestin dan mencemuh mana-mana bentuk sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Sekiranya kerajaan Malaysia berdiam diri atau menerima pelantikan ini, ia akan dilihat sebagai penghinaan terbuka terhadap sensitiviti umat Islam dan rakyat Malaysia yang tegas menyokong perjuangan Palestin,” katanya dalam catatan di Facebook.

Sukri menyeru Wisma Putra melaksanakan haknya di bawah Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik untuk menolak mana-mana calon duta dianggap tidak sesuai atau membahayakan keharmonian domestik.

“Kami mendesak Kerajaan Malaysia menggunakan kuasa yang ada menolak pencalonan Nick Adams serta memberi mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan sesekali membiarkan bumi ini menjadi pentas normalisasi kezaliman Zionis atau medan eksperimen pelampau Islamofobia,” katanya.

Sebagai warga AS yang diperoleh secara naturalisasi dan berasal dari Australia, Adams dikenali kerana sokongannya terhadap Donald Trump serta pembabitan dalam kempen pilihan raya AS 2024.

Pencalonannya sebagai duta besar ke AS diserahkan kepada Senat pada 9 Julai dan susulan itu menerima kritikan berikutan kenyataannya kontroversinya sebelum ini dalam talian, termasuk kenyataan menyasarkan umat Islam.

Ketika ini, Edgard D Kagan menjadi duta besar AS ke Malaysia sejak lebih setahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.