Orang ramai dijemput meriahkan Minggu Perpaduan di Batu Kawan

Orang ramai dijemput meriahkan Minggu Perpaduan di Batu Kawan

Program bermula Khamis hingga Ahad itu menyediakan lebih 35 aktiviti menarik selain dimeriahkan dengan persembahan artis popular.

multiracial malaysian
Sambutan Minggu Perpaduan jadi platform mengukuhkan hubungan dan keharmonian masyarakat majmuk. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan sambutan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dari Khamis hingga Ahad ini.

Bertemakan `Harmoni Dalam Kepelbagaian’, program itu bakal dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Sabtu ini.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan sambutan itu akan menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang.

“Objektif utama penganjuran ini adalah untuk merapatkan jurang perbezaan dan memupuk semangat kebersamaan dan saling menghormati yang menjadi asas kekuatan negara.

Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan 2025 diadakan di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Kementerian mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia ke sambutan ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh keharmonian nasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebih 35 aktiviti disediakan untuk memeriahkan sambutan itu antaranya pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia dan Pavilion Perpustakaan Malaysia serta Food Unites.

Kerajaan turut menyediakan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat, termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Sambutan itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan artis ternama tanah air, seperti Awie, Stacy, Jaclyn Victor, Black Hanifah, Shila Zikir dan Suki Low serta persembahan khas oleh kumpulan nasyid Hijjaz dan Inteam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.