Contohi Sarawak berkait model perpaduan, kata menteri negeri

Contohi Sarawak berkait model perpaduan, kata menteri negeri

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pemimpin politik di Semenanjung Malaysia wajar belajar bagaimana umat Islam dan penganut Kristian hidup bersama secara harmoni di Sarawak.

Abdul Karim Rahman
Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak telah lama mengamalkan keharmonian dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat majmuknya. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Pemimpin politik mesti berhenti menyemarakkan ekstremisme kaum dan agama, sebaliknya mencontohi model perpaduan diamalkan di Sarawak, kata menteri negeri itu Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan Malaysia untuk merapatkan jurang antara komuniti etnik dan agama.

Karim yang juga ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menekankan tanggungjawab untuk memastikan tiada bentuk ekstremisme kaum dan agama wujud terletak pada bahu pemimpin di setiap zaman.

“Mereka mesti tunjukkan teladan baik. Kalau pemimpin mula main isu kaum dan agama, dari situlah masalah bermula,” katanya dalam satu temu bual bersama FMT.

Menjadikan Sarawak sebagai contoh sederhana, Karim berkata negeri itu telah lama mengamalkan keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Masalah terbabit tidak wujud di sini. Anda boleh pergi ke kopitiam yang menjual mi jawa, kari atau malah daging khinzir. Ia bukan satu isu,” kata menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak itu.

“Itu tidak menjadikan kita kurang Islam. Masjid kita tetap penuh. Masa Hari Raya, kita tetap pakai baju raya,” tambahnya.

Karim berkata Sarawak turut memupuk semangat perpaduan sejak usia muda melalui program belia dan sekolah yang melibatkan pelajar dari pelbagai aliran pendidikan.

“Dalam program sekolah, saya akan pastikan peserta datang dari semua jenis sekolah – sekolah Islam, sekolah mubaligh, sekolah kerajaan dan sekolah Cina – supaya mereka dapat bergaul bersama,” katanya.

Penganut Kristian dan Islam dalam satu keluarga

Karim berkata corak demografi unik Sarawak turut membantu mengeratkan hubungan antara agama, termasuk keadaan di mana sesetengah rumah panjang mempunyai kalimah Allah di satu sisi dan salib di sisi yang lain.

“Di rumah panjang, anda akan dapati orang Islam dan Kristian tinggal bersama dalam satu keluarga,” katanya.

Karim berkata kerajaan Sarawak juga memastikan nilai inklusif diterapkan dalam institusinya, dan beliau sendiri memastikan pelantikan dalam kementeriannya seimbang dari segi kaum.

Beliau menambah tidak seperti di Semenanjung Malaysia yang mempunyai jabatan agama Islam peringkat persekutuan, Sarawak turut menubuhkan Unit untuk agama Lain bagi memberikan sokongan adil kepada komuniti bukan Islam.

“Menerusi unit ini, lebih RM100 juta telah disalurkan untuk membantu gereja kecil, gereja besar dan kuil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.