
Menurutnya, vendor terpilih menerusi proses tender sebelum ini diberikan tempoh 12 bulan untuk menyiapkan pemasangan dan inisiatif itu juga disokong dengan penyediaan fasiliti tertentu.
“Inisiatif itu disokong dengan pembinaan fasiliti pengecasan serta latihan teknikal dan penyelenggaraan yang sedang giat dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan bas diesel baharu di Kompleks Rapid Bus, Batu Caves.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah serta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Jana Santhiran Muniayan.
Sebanyak 310 bas diesel itu akan diterima secara berperingkat Prasarana hingga awal tahun depan dengan 70 daripanya bakal beroperasi di Pulau Pinang.
Bas terbabit menjadi kumpulan terakhir bas menggunakan bahan bakar sementara menunggu peralihan penggunaan bas EV.
Mengulas lanjut, Loke berkata kerajaan mewajibkan pemasangan bas elektrik itu dalam negara dengan kerjasama syarikat tempatan.
“Kita menetapkan syarat pemasangan bas EV ini mesti dilakukan dalam negara walaupun teknologi itu diperoleh dari luar negara.
“Ia penting supaya kita dapat memanfaatkan teknologi selain memberi faedah kepada syarikat tempatan dan menghidupkan industri pemasangan bas di Malaysia,” katanya