Tolak Adams sebagai duta besar AS ke Malaysia, kata Zaid

Tolak Adams sebagai duta besar AS ke Malaysia, kata Zaid

Zaid Ibrahim label calon duta itu sebagai 'penghasut sayap kanan' dan 'provokasi partisan' selain tiada kelayakan diplomatik.

zaid ibrahim n nick adams
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, menyifatkan Nick Adams ‘penghasut sayap kanan’ yang pelantikannya bukan menunjukkan muhibah, malah penghinaan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menyeru kerajaan segera dan tegas menolak Nick Adams sekiranya dicalonkan sebagai duta besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Zaid berkata, walaupun Washington berhak mencadangkan sesiapa sahaja, keputusan muktamad tetap terletak di tangan Putrajaya.

“Malaysia, bukan Washington, yang mempunyai kuasa muktamad menentukan siapa layak diberikan keistimewaan mewakili kepentingan asing di tanah air kita,” katanya dalam kenyataan tegas di X.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan menyatakan Nick Adams sedang dipertimbang Presiden Donald Trump untuk dilantik sebagai duta besar AS ke Malaysia.

Zaid berkata, Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik memberi kuasa kepada negara tuan rumah untuk menerima atau menolak pelantikan duta tanpa perlu mengemukakan sebarang alasan.

“Jawatan duta bukan sekadar bersifat istiadat. Seorang duta merupakan wajah, suara, dan cerminan sikap negara mereka di negara tuan rumah. Mereka ditugaskan memupuk kepercayaan, memperkukuh kerjasama, serta mewakili nilai, dan aspirasi tertinggi negara mereka,” katanya.

Zaid melabelkan Adams sebagai ‘penghasut sayap kanan’ dan ‘provokasi partisan’ yang bukan bekerjaya diplomat mahupun negarawan, justeru tidak sesuai memegang jawatan tersebut.

“Dia seorang provokasi politik dengan komentar yang lantang dan memecah belahkan sehingga menjadi bahan sensasi media kabel AS yang tidak membawa sebarang nilai kepada hubungan diplomatik Malaysia-AS,” katanya sambil menambah menerima Adams bukanlah tanda muhibah, sebaliknya berbentuk penghinaan.

Beliau turut menegaskan Malaysia tidak seharusnya dijadikan tempat pelupusan kepada tokoh ideologi ekstrem dan pengaruh partisan yang memecah belah.

Zaid berkata, menolak pencalonan itu tidak akan menjejaskan hubungan dua hala, sebaliknya memberi isyarat Malaysia mementingkan keutuhan berbanding penghibur, dan mengharapkan negara lain memberikan tahap hormat sama seperti diamalkan Malaysia.

“Kita mesti mempertahankan maruah negara dan menjunjung norma antarabangsa. Andai kita terpaksa menempuh jalan panjang dalam perkara ini, maka kita mesti lakukannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.