
Mereka yang masing-masing berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai pada 4 pagi dan rampasan dibuat pada hari sama di rumah pasangan itu di Pasir Puteh.
Suspek wanita dipercayai dalang kegiatan pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perniagaan ayam proses, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu p-panggilan.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata polis sebelum itu melakukan rondaan dan mengesan mengesan sebuah Proton X70 dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota unit kereta peronda (MPV) Kuala Krai itu terus mengekori kenderaan terbabit yang dinaiki pasangan itu.
“Pemeriksaan lanjut menemui 110 bungkusan plastik yang didalamnya mengandungi tumbuhan kering dipercayai bunga ganja seberat 60.8 kilogram.
“Turut ditemui ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 6.95kg dan paket plastik mengandungi 150 biji pil yaba.
“Jumlah dadah jenis ganja yang dirampas di Kuala Krai sebanyak 67.75 kg dan 15 gram pil yaba membabitkan nilai RM2.37 juta,” katanya, menurut Berita Harian.
Katanya, polis kemudiannya menemukan 22kg tumbuhan kering mampat jenis ganja bernilai RM775,000 dalam serbuan rumah mereka di Pasir Puteh pada hari sama.
“Kita juga merampas wang tunai, rantai leher dan barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan membabitkan dua lokasi adalah sebanyak RM3.1 juta.
“Siasatan mendapati pasangan suami isteri ini sudah bergiat aktif sejak lebih setahun lalu dengan berselindung di sebalik perniagaan lain,” katanya.
Tambahnya lagi, polis percaya bekalan dadah terbabit akan dihantar ke luar negara selain tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek adalah ketua kumpulan.
“Mereka juga dipercayai mempunyai rangkaian lain memandangkan bekalan untuk dihantar ke luar negara.
“Saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan suspek wanita adalah negatif. Kedua-duanya memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.