Polis siasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat SPK

Polis siasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat SPK

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata polis akan memanggil semua saksi kompeten bagi membantu siasatan kes itu.

Mohd Khalid Ismail
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman serta di media sosial.
PETALING JAYA:
Polis menyiasat kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata siasatan kes itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman serta di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Khalid berkata polis juga akan memanggil semua saksi kompeten bagi membantu siasatan kes itu.

“Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak mendedahkan apa jua dokumen yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam mendedahkan serta menyebarkan dokumen tersebut,” katanya.

Semalam, dokumen didakwa petikan minit mesyuarat SPK pada Mei lalu ‘bocor’ dan tular di media sosial.

Situasi itu menimbulkan persoalan pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang yang meminta penjelasan.

Isu pelantikan kehakiman mula tercetus selepas persaraan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua hakim negara tamat pada 7 Julai lalu dan perkhidmatannya tidak disambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.