Nancy cadang gubal RUU kawal pendedahan kanak-kanak di media sosial

Nancy cadang gubal RUU kawal pendedahan kanak-kanak di media sosial

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata ketika ini tiada undang-undang seperti itu di Malaysia.

Nancy Shukri
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata kerajaan menasihatkan ibu bapa agar tidak mendedahkan anak-anak secara berlebihan di media demi keselamatan mereka.
PETALING JAYA:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mencadangkan satu rang undang-undang (RUU) digubal bagi mengawal pendedahan berlebihan kanak-kanak di media sosial.

Nancy berkata ketika ini negara negara tidak memiliki undang-undang khusus berkaitan pendedahan golongan itu menerusi di televisyen atau media sosial, lapor Berita Harian.

Katanya, RUU itu penting kerana banyak negara lain sudah mempunyai undang-undang kukuh untuk melindungi kanak-kanak di dalam media digital.

“Penggubalan undang-undang akan dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dengan kerjasama Kementerian Digital, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kementerian kami tidak menggubal undang-undang secara langsung tetapi kami sedia bekerjasama dan memberikan input bersama agensi lain,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Nancy berkata, ketika ini kerajaan melalui Majlis Sosial Negara sedang menjalankan pelbagai intervensi membabitkan agensi seperti Kementerian Kesihatan, SKMM dan Kementerian Pendidikan bagi menangani isu keselamatan kanak-kanak di media sosial.

Katanya, antara usaha yang dilaksanakan adalah kempen kesedaran di media sosial dan televisyen yang menasihatkan ibu bapa agar tidak mendedahkan anak-anak secara berlebihan dalam media demi keselamatan mereka.

“Kita tidak menggalakkan ibu bapa terlalu mendedahkan anak di media sosial hanya kerana mereka rasa anaknya comel kerana ini boleh membawa risiko besar kepada keselamatan mereka,” katanya.

Laporan UNICEF baru-baru ini mendedahkan sebanyak 40% kanak-kanak di Malaysia tidak mengetahui cara melindungi diri mereka ketika melayari internet, manakala 83% lagi terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian akibat perlindungan yang tidak mencukupi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.