
Ketua Pengarah Zakaria Shaaban, berkata ada perkahwinan antara wanita tempatan berusia 65 tahun bersama warga asing berusia 20-an, sekali gus menimbulkan keraguan kemungkinan ada tujuan lain.
“Kalau mereka berkahwin secara sah, ikut peraturan dan perundangan yang betul, tak jadi kesalahan tapi apa yang risaukan jika guna kemudahan perkahwinan untuk tujuan tertentu, iaitu ‘marriage for convenience’.
“Pemuda warga asing berusia 25 tahun berkahwin dengan orang tua dah umur 60 atau 70 tahun, ada jarak usia yang ketara. Di pihak imigresen, kita akan buat siasatan terperinci untuk mengesahkan perkahwinan mereka ini,” katanya menurut Berita Harian di Kota Bharu.
Katanya, isu perkahwinan sedemikian bukan baharu sebaliknya sudah lama berlaku dan ia bukan kesalahan selagi mengikut peraturan, namun lebih kepada masalah sosial.
“Kita perlu beri kesedaran kepada masyarakat jika ada ahli keluarga mereka sama ada ibu atau kakak yang berumur, tiada orang jaga, beri perhatian supaya mereka tidak terjerat dengan sindiket yang terbabit.
“Kalau kata (usia) hampir sebaya, jaraknya tak jauh, ‘Ok’ lah tapi kita tetap juga buat naziran untuk sahkan tujuan perkahwinan sebenar,” katanya.
Dilaporkan baru-baru ini, imigresen menumpaskan sindiket disyaki menawarkan perkhidmatan berkaitan imigresen, termasuk permohonan di bawah kategori ‘pasangan warga asing kepada warganegara Malaysia’ dan perkhidmatan pendaftaran perkahwinan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk perkahwinan warganegara dan warga asing.
Sindiket itu sasar warga emas yang sering terabai atau tidak mendapat sokongan kewangan daripada ahli keluarga sendiri dan kebanyakan kes, warga emas tidak perlu melakukan apa-apa selain bersetuju berkahwin.
Sebagai balasan, mereka menerima elaun bulanan mencecah ribuan ringgit kerana warga asing ini hanya mahu berkahwin untuk mendapatkan status sah.