Tipu pinjaman bank RM1.33 juta, wanita disyaki dalang sindiket ditahan

Tipu pinjaman bank RM1.33 juta, wanita disyaki dalang sindiket ditahan

Suspek utama itu kini direman sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan.

handcuff
Penahanan dilakukan susulan laporan terhadap kes itu yang berlaku antara Januari hingga April 2024, kata Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairuddin (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang wanita ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan permohonan pinjaman peribadi bank membabitkan kerugian RM1.33 juta.

Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairuddin, berkata wanita terbabit disyaki menjadi dalang sindiket penipuan itu dengan mengendalikan proses pinjaman termasuk mencari peminjam dan mengendalikan dokumen palsu.

“Wanita terbabit ditahan dalam satu operasi khas dijalankan pasukan Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu, sekali gus berjaya melumpuhkan sindiket yang bergerak aktif sejak tahun lalu.

“Tangkapan terhadap wanita itu dilakukan hasil siasatan polis terhadap laporan diterima IPD Kuala Terengganu berhubung kes penipuan pembiayaan pinjaman peribadi membabitkan kerugian RM1.33 juta antara Januari hingga April 2024,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Hasil penahanan itu, polis merampas tujuh kad mesin pengeluaran automatik (ATM) iaitu empat keping milik peminjam dan tiga keping milik suspek selain telefon bimbit dan dokumen berkaitan pinjaman.

Wanita terbabit kini direman sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan.

Selain itu, Mohd Khairi berkata, siasatan mendapati suspek bertindak sebagai ejen menawarkan pinjaman kepada individu yang tidak layak memohon pinjaman sah seperti tiada pendapatan tetap.

Katanya, suspek mengenakan caj komisen 35% daripada jumlah pinjaman diluluskan dan kad ATM peminjam akan dipegang suspek sehingga pinjaman dimasukkan ke akaun peminjam.

“Kita juga dapati sindiket itu memperdaya bank tempatan dengan menggunakan dokumen palsu dalam permohonan pinjaman.

“Pinjaman diuruskan melalui pos tanpa kehadiran peminjam di bank atau pengesahan tandatangan di hadapan pegawai bank.

“Selepas pinjaman diluluskan dan wang dipindahkan ke akaun peminjam. Hasil audit dalaman bank mendedahkan dokumen digunakan tujuh peminjam adalah palsu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.