
Johari, yang diberi tanggungjawab menjalankan sementara tugas menteri sumber asli dan kelestarian alam, berkata pelantikan itu juga perlu bagi menangani isu-isu kritikal melibatkan kementerian itu.
“Apabila ada kekosongan, perdana menteri akan lantik pemangku menteri.
“Ini penting kerana Parlimen akan bersidang, dan banyak soalan perlu dijawab. Sebagai contoh, Kementerian Ekonomi perlu memuktamadkan Rancangan Malaysia ke-13, jadi sudah tentu seseorang perlu dilantik bagi menyelesaikannya dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuantan.
“Justeru, jawatan sebagai pemangku ini diberi supaya isu-isu kritikal dapat diselesaikan dalam tempoh satu atau dua bulan.”
Semalam, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa Johari diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi menteri sumber asli dan kelestarian alam, berkuat kuasa serta-merta.
Ini susulan perletakan jawatan sebagai menteri oleh Ahli Parlimen Setiawangsa dari PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Mei.
Pada bulan lalu, Jemaah Menteri juga bersetuju Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab sebagai pemangku Menteri Ekonomi, berkuat kuasa serta-merta, susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli.
Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing meletak jawatan selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti yang diadakan Mei lepas.