
Beliau meluahkan rasa lega apabila isu kontrak kedua-dua pemain itu berjaya dimuktamadkan, selain merakamkan penghargaan kepada Presiden BAM Tengku Zafrul Aziz atas komitmen dan usaha memastikan kebajikan pemain sentiasa terbela.
“Saya berharap mulai hari ini, Pearly dan Thinaah boleh memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan dan pertandingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Asean Youth Volunteer Forum 2025 di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Azura Abidin.
Menurut Hannah pasangan beregu itu tidak perlu bimbang kerana menerima sokongan penuh daripada BAM termasuk kemudahan latihan dan khidmat kejurulatihan.
“Pearly dan Thinaah juga termasuk dalam program Road to Gold. Saya percaya dengan sokongan padu yang diberikan, mereka mampu mencatat kejayaan dalam kejohanan akan datang,” katanya.
Spekulasi mengenai masa depan pasangan beregu utama negara itu akhirnya terjawab pada Khamis apabila Pearly-Thinaah memutuskan untuk terus bernaung bawah BAM, sebagaimana diumumkan Tengku Zafrul.
Keputusan itu menyaksikan mereka kekal bersama BAM sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.