
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian serius dan tindakan tegas diambil jika dakwaan didapati benar selepas penyiasatan menyeluruh dilakukan.
“Laporan baru diterima, saya dah minta Jais siasat dan ambil tindakan tegas sebab ia dianjurkan secara tertutup di dalam dewan, tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.
“Namun, saya prihatin dengan apa yang didedahkan kita perlu melakukan siasatan menyeluruh dan ambil tindakan tegas kepada sesiapa yang terlibat,” katanya menurut Bernama.
Beliau ditemui selepas merasmikan Festival Turath Islami 2025 di Shah Alam.
Ditanya jika pihak pengurusan pusat konvensyen akan dipanggil memberikan penjelasan mengenai perkara itu, Amirudin berkata ia perlu terlebih dahulu diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa.
Semalam, dilaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan siasatan terperinci susulan penularan penganjuran motivasi rumah tangga yang didakwa berunsur syirik dan tidak bermoral.
Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, berkata siasatan dijalankan bagi memastikan maklumat diperoleh jelas dan sahih sebelum tindakan yang wajar selaras peruntukan undang-undang.
Program dikatakan berlangsung di Shah Alam dari 27 hingga 30 Sept tahun lalu didedahkan seorang pengguna Facebook yang mendakwa kontroversi berlaku pada hari terakhir membabitkan kira-kira 50 peserta wanita di dalam dewan.
Dakwanya, insiden bermula apabila ‘penceramah’ wanita muncul dengan berbikini seterusnya berbogel dan menari bersama ‘ahli kumpulannya’.
Mereka kemudian mengajak peserta ikut sama menanggalkan pakaian selepas diberikan sejenis minuman.
Selain itu, peserta disuruh melakukan upacara ‘sacred bath’ dan ‘rebirth’ yang berbentuk seperti ritual keagamaan.
Pengguna Facebook itu mendakwa, aduan sudah dibuat dan bukti juga diserahkan kepada pihak berkuasa namun sehingga kini tiada tindakan diambil.