
Pengarah Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais tidak menerima aduan mengenai kejadian itu yang berlaku pada 27 hingga 30 Sept 2024.
“Jais akan memanggil beberapa individu pada 15 Julai 2025 (Selasa) untuk membantu siasatan.
“Pada masa sama, Jais telah berbincang dengan pihak polis dan bekerjasama menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (doktrin palsu) kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan hukum syarak.
Mengulas lanjut, Shahzihan berkata pihaknya ada menerima aduan daripada bekas peserta pada 2022, antara lain mengadu mengenai beberapa isu disifatkan tidak wajar dan tidak sesuai menjadi sebahagian modul dalam program motivasi rumah tangga itu.
“Berdasarkan aduan tersebut, penganjur telah dipanggil panel pendengaran bawah Jawatankuasa Pengawalan Akidah, Majlis Agama Islam Selangor dan diminta mengubah beberapa modul agar menepati syarak,” katanya.
Katanya, Jais memandang berat perkara seumpama itu dan akan mengambil segala langkah perlu untuk membendung serta membanteras apa juga aktiviti bertentangan hukum syarak serta nilai etika.
Pihaknya berharap dan memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai program itu menghubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais di talian hotline 1800 88 2424 atau hadir terus ke pejabat bagi membantu siasatan.
Semalam, dilaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan siasatan terperinci susulan penularan penganjuran motivasi rumah tangga yang didakwa berunsur syirik dan tidak bermoral.
Program dikatakan berlangsung di Shah Alam dari 27 hingga 30 Sept 2024, didedahkan seorang pengguna Facebook yang mendakwa kontroversi berlaku pada hari terakhir membabitkan kira-kira 50 peserta wanita di dalam dewan.
Dakwanya, insiden bermula apabila ‘penceramah’ wanita muncul dengan berbikini seterusnya berbogel dan menari bersama ‘ahli kumpulannya’.
Mereka kemudian mengajak peserta ikut sama menanggalkan pakaian selepas diberikan sejenis minuman.
Selain itu, peserta disuruh melakukan upacara ‘sacred bath’ dan ‘rebirth’ yang berbentuk seperti ritual keagamaan.