
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata Hadi yang menyandang jawatan itu lebih 20 tahun dilihat selesa dan tidak berdepan desakan berundur, berbeza dengan ketua parti lain sehingga menimbulkan ketegangan.
Katanya, ‘percikan’ terdekat ‘menuju’ kepada pertandingan bagi jawatan tertinggi pada pemilihan PAS, September ini hanya apabila Naib Presiden Mohd Amar Abdullah dicalonkan bertanding timbalan presiden oleh Pemuda PAS Pengkalan Chepa.
Pencalonan itu dikatakan mungkin berkait gerakan mahu memposisikannya sebagai orang nombor dua parti selepas Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikhabarkan menggantikan Hadi, jika beliau berundur.
“Jadi itu sahaja tekanan diterima, tidak ada ura-ura gerakan atau besar-besaran untuk menggantikan beliau.
“Sebab itu Hadi tiada masalah untuk terus menerajui PAS kerana tiada tekanan daripada dalam dan luar,” katanya kepada FMT.
Semalam, Bernama melaporkan Hadi mengesahkan akan mempertahankan jawatan presiden PAS dan berhasrat terus berkhidmat kepada parti sehingga akhir hayat kerana keadaan kesihatannya masih baik.
Kali terahir Hadi dicabar pada 2015 oleh Ahmad Awang, menyaksikan ramai tokohnya keluar selepas pemilihan antaranya Mohamad Sabu yang kalah kepada Tuan Ibrahim bagi jawatan timbalan presiden.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berkata, keadaan kesihatan Hadi yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara, bulan lalu akan terus menjadi polemik menerusi pengesahannya kekal bertanding pemilihan.
“Mungkin terus menjadi perhatian kerana boleh mempengaruhi stamina dan keupayaannya untuk memimpin parti secara efektif untuk jangka panjang.
“Pengalaman sebelum ini seperti spekulasi pengunduran beliau juga menunjukkan pentingnya kesinambungan kepimpinan yang kukuh bagi PAS,” katanya.