Asean akan kemuka ‘senarai hasrat’ kepada junta Myanmar

Asean akan kemuka ‘senarai hasrat’ kepada junta Myanmar

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata beliau akan bentang senarai itu dalam kunjungan ke Naypyidaw nanti.

Mohamad Hasan
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata Malaysia akan menyampaikan ‘senarai hasrat’ didukung pemegang taruh kepada junta Myanmar termasuk gesaan gencatan senjata dan pembebasan tahanan politik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Satu ‘senarai hasrat’ yang disatukan akan dikemukakan kepada junta Myanmar, dengan Menteri Luar Mohamad Hasan dijadual mengadakan lawatan ke Naypyidaw pada September atau awal Oktober dalam usaha menghidupkan semula pelan damai Asean sekian lama tertangguh.

Beliau berkata, ‘hasrat’ itu dikenal pasti selepas beberapa bulan libat urus oleh utusan khas Malaysia dengan semua pemegang taruh utama, termasuk kumpulan etnik dan wakil masyarakat sivil.

“Kebanyakan mereka mahukan pembebasan tahanan politik, gencatan senjata, serta bantuan kemanusiaan tanpa halangan,” katanya pada sidang media semalam, susulan penutupan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

“Justeru, saya akan bertemu rakan sejawat (Than Swe) dan perdana menteri mereka (Min Aung Hlaing) untuk membentangkan kepadanya segala dapatan yang kami kumpulkan setakat ini.”

“Diharapkan daripada pertemuan itu, kita dapat merumuskan sesuatu yang positif demi kepentingan rakyat Myanmar.”

Asean terus berusaha menamatkan krisis politik dan kemanusiaan berlarutan di Myanmar, walaupun Majlis Pentadbiran Negara (SAC) yang memerintah cuba mengehadkan pengaruh Asean dalam politik domestik menerusi Konsensus Lima Perkara (5PC) blok itu serta pendekatan libat urus inklusif dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar.

Sekat konsensus

Pada awal Julai, SAC mengancam menyekat kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu Asean.

Dilaporkan, pemerintah tentera Myanmar menghantar surat rasmi untuk mendesak Asean menyekat kemasukan Timor-Leste, dengan menuduh negara itu melanggar prinsip tidak campur tangan blok tersebut susulan tindakan Timor-Leste berhubung dengan kerajaan bayangan Myanmar, iaitu Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG).

Namun, Timor-Leste menolak bantahan junta tersebut sebagai ‘tidak bererti dan tidak relevan’, manakala pemerhati menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan menghalang negara anggota Asean menjalinkan hubungan dan memberi sokongan kepada mana-mana kerajaan Myanmar yang melibatkan penyertaan NUG.

Pendirian Myanmar terhadap Timor-Leste juga dilihat semakin terpinggir apabila menteri luar Asean sekali lagi menegaskan Timor-Leste akan diterima sebagai ahli ke-11 blok itu pada Sidang Kemuncak Oktober nanti.

“Kami mengulangi komitmen Asean terhadap pembentukan sebuah komuniti serantau yang inklusif dan lestari dengan menyokong keahlian penuh Timor-Leste,” kata mereka, sambil merujuk peranan aktif Dili sebagai pemerhati serta kesediaannya menerima pakai semua perjanjian Asean.

Joanne Lin dari Institut ISEAS-Yusof Ishak, Singapura, berkata cubaan Myanmar menghalang kemasukan Timor-Leste tidak signifikan memandangkan kewujudan 5PC.

“5PC sebenarnya menyeru kepada libat urus dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar, termasuk kerajaan NUG,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn mengesahkan Myanmar dan Timor-Leste memulakan perbincangan bagi menyelesaikan perbezaan, menjelang Sidang Kemuncak.

“Myanmar dan Timor-Leste telah duduk semeja, dan saya percaya mereka sedang menyelesaikan perbezaan antara mereka. Jadi, dari segi itu, ada perkembangan positif. Saya tidak jangka sebarang masalah berhubung kemasukan rasmi Timor-Leste pada Oktober ini,” katanya kepada media dalam wawancara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.