
Ketua Subdit Dokpol Polda Jawa Timur, Adam Bimantoro, berkata Pasukan Identifikasi Mangsa Bencana (DVI) Polis Jawa Timur mengesahkan warganegara Malaysia itu sebagai Fauzey Awang, 58.
“Pengenalpastian dilakukan melalui pemeriksaan perubatan dan barang milik mangsa,” katanya menurut Berita Harian memetik Antara News dalam sidang media di Hospital RSUD Blambangan, Banyuwangi.
Berdasarkan data Posko operasi SAR dan pasukan SAR gabungan di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, 15 mangsa korban disahkan sehingga malam Khamis, iaitu hari kesembilan operasi pencarian, termasuk satu mayat dalam proses dikenal pasti.
Feri penumpang, KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 53 penumpang, 12 anak kapal dan 22 kenderaan dilaporkan karam di Selat Bali pada 2 Julai lalu.
Feri yang berlepas dari Pelabuhan Ketapang di Banyuwangi menuju Pelabuhan Gilimanuk di Bali itu mengeluarkan isyarat kecemasan pada 11.20 malam waktu tempatan sebelum karam pada 11.35 malam, menurut Pejabat Mencari dan Menyelamat Banyuwangi.
Sebelum ini, 30 orang ditemui selamat, manakala 20 masih hilang dan usaha pencarian masih diteruskan.