
Menteri besar Pahang itu berkata perkembangan baru berkenaan membuktikan afidavit difailkannya pada 21 Mei tahun lalu yang beliau mengetahui kewujudan titah itu adalah benar dan bukan bersifat ‘hearsay’.
“Memandangkan pihak peguam negara secara langsung atau tidak langsung mengakui keabsahan titah addendum ini, wajar bagi prosiding ini dihentikan dan titah ini dilaksanakan.
“Jabatan Peguam Negara, mahkamah dan semua pihak terlibat terutama kerajaan perlu menjadi badan menjunjung konsep pengasingan kuasa, termasuk menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan dimaklumkan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang menjadi peguam negara ketika titah adendum itu ditandatangani, Januari tahun lalu, mengakui kewujudannya.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan pendakwaraya mengakui kewujudan perintah tambahan semasa berhujah pada 2 Julai, namun mempersoalkan kesahihannya.
Najib mahu kerajaan melaksanakan perintah tambahan bertarikh 29 Jan 2024 yang membolehkannya menjalani baki pemenjaraan di bawah tahanan rumah.
Bekas perdana menteri itu mengetahui kewujudan perintah itu tidak lama selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta, pada awal Februari tahun lalu.