
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata peluang masih terbuka kepada pelarasan kadar tarif dan AS aktif berunding dengan pelbagai negara untuk menyeimbangkan semula perdagangan.
“Bagaimanapun, pasaran mahukan kepastian. Oleh itu, kita perlu memberitahu semua pihak mengenai kadar asas (tarif) yang akan bermula pada 1 Ogos, tetapi rundingan ini diteruskan.
“Terdapat rundingan dengan Jepun pada minggu depan. Rundingan juga sedang dilaksanakan dengan hampir semua negara yang hadir. Jadi, ini adalah rakan kongsi penting,” katanya di luar mesyuarat Asean di sini semalam.
Isnin lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif baharu antara 25 hingga 40% ke atas 14 negara dan mengeluarkan perintah eksekutif melanjutkan tarikh pelaksanaan tarif timbal balik berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Rubio berkata, semua negara akan menerima surat berkaitan usaha Trump untuk menyeimbangkan semula perdagangan global.
“Presiden telah menyatakan dengan jelas. Beliau merasakan keadaan perdagangan global semasa tidak adil kepada pekerja dan ekonomi AS, dan ini usaha untuk menyeimbangkan semula keadaan itu pada skala global.
“Saya boleh katakan apabila semuanya selesai, banyak negara di Asia Tenggara akan menikmati kadar tarif yang sebenarnya lebih baik berbanding negara lain di dunia dan itu mungkin memberi manfaat.”
Sementara itu, Rubio berkata, AS kekal komited memperdalamkan kerjasama strategik dan ekonomi di Indo-Pasifik, terutamanya di Asia Tenggara.
Beliau turut menyifatkan mesyuarat tiga hala baru-baru ini dengan Jepun dan Filipina “sangat baik”, sekali gus mengesahkan kerjasama teguh dalam keselamatan maritim, integriti wilayah serta pembangunan koridor ekonomi.
“Kami bekerjasama erat dengan Jepun serta Filipina dan terus membina kerjasama ini. Kami juga menunggu kunjungan presiden Filipina ke Washington dalam masa beberapa hari lagi.”
Sambil menekankan kepentingan rantau ini, katanya, lebih 6,000 syarikat AS melabur di Asia Tenggara dan “rantau ini mempunyai populasi paling muda dari segi demografi” dengan potensi pertumbuhan besar.
“Sejarah abad ke-21 akan banyak berlaku di Indo-Pasifik, khususnya Asia Tenggara. Kami menghabiskan masa selama beberapa dekad untuk membina hubungan ini dan kami tidak akan menarik diri – malah kami berhasrat meluaskannya.”