
Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng, berkata pelaksanaan tarif baharu pada waktu rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup dan ekonomi yang belum stabil adalah tindakan tidak wajar.

“Saya mendesak kerajaan menilai semula pelaksanaan tarif baharu ini dan mempertimbangkan mekanisme khas bagi membantu golongan pengguna yang benar-benar terkesan, khususnya kelas pertengahan dan perusahaan mikro.
“Jangan jadikan tarif elektrik sebagai titik mula ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan yang mereka pilih,” kata wakil rakyat Pakatan Harapan dalam kenyataan.
Bermula 1 Julai lalu, Suruhanjaya Tenaga menggunakan jadual tarif elektrik baharu dengan kadar lebih adil dan progresif serta pengurangan purata kos hingga 19%.
Seramai 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung menikmati kadar elektrik baharu yang lebih progresif selaras kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR).
Mengulas lanjut, Lim berkata walaupun struktur tarif baharu mengenakan kadar lebih tinggi kepada sektor industri dan komersial, golongan pengguna domestik kelas pertengahan tetap antara yang paling terkesan.
“Mereka tidak menerima subsidi penuh seperti golongan B40, namun tidak juga mampu menanggung kos tambahan tanpa kesan terhadap perbelanjaan harian,” katanya.
Katanya, rakyat berpendapatan kecil kini berdepan lonjakan bil bulanan walaupun penggunaan untuk keperluan asas, bukan kemewahan, malah ada antara mereka yang terkejut apabila menerima bil dengan kadar baharu tanpa sebarang penerangan mencukupi.
“Rakyat berhak mendapat maklumat telus, sistem yang stabil, dan dasar berpandukan realiti hidup seharian. Dasar tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada angka atas kertas atau cadangan teknokrat tanpa semakan impak sosial,” katanya.