
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berpendapat cadangan itu susulan rasa tidak puas hati PAS terhadap struktur kuasa sedia ada dalam PN kerana parti itu memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding Bersatu.

“Ketika ini suara mereka (PAS) agak terhad kerana pengerusi, setiausaha agung dikuasai Bersatu. Salah satu strategi mengurangkan, mencairkan kuasa Bersatu dengan penubuhan majlis presiden.
“…kerana dalam majlis presiden secara lazimnya, suara-suara itu mempunyai kekuatan sama, tak kira presiden dari parti mana. Penubuhan ini bukan nak menguatkan PN, ia tidak akan bawa apa-apa perubahan tetapi untuk beri lebih suara kepada PAS yang sepatutnya mempunyai suara tersebut dalam PN,” katanya kepada FMT.
Semalam, PAS mendedahkan cadangannya supaya PN mewujudkan majlis presiden dianggotai semua ketua parti dalam gabungan itu bagi menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan sekutunya iaitu Bersatu.
“Cadangan ini sudah sampai ke pihak Bersatu dan kita minta mereka sama-sama memikirkannya sebab ia memerlukan konsensus antara parti (dalam PN),” katanya.
PN turut dianggotai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Mengulas lanjut, Azmi berkata Muhyiddin ketika ini berdepan cabaran bukan sahaja dari dalam partinya malah pihak luar yang mahu presiden Bersatu mengundur diri.

Senada dengan Azmi, penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Syahruddin Awang Ahmad, berkata cadangan itu langkah strategik yang berpotensi mengubah dinamik kepimpinan PN.
Katanya, misi PAS adalah memastikan keputusan dibuat secara kolektif dan adil, selari visi pemerintahan inklusif dan stabil.
“Jika majlis presiden diwujudkan, ia pasti memberi kesan kepada kedudukan Muhyiddin,” katanya.
Menurutnya, kesan langsung bakal timbul adalah mengehadkan kuasa mutlak dan pengagihan kuasa lebih seimbang berbanding situasi semasa, Muhyiddin selaku pengerusi PN memegang kuasa besar dalam membuat keputusan dan menentukan hala tuju gabungan.
“Ini akan mengubah peranan pengerusi daripada pemimpin tunggal kepada seorang fasilitator atau ketua penyelaras manakala misi Muhyiddin dan Bersatu adalah untuk mengekalkan dominasi mereka dan kembali menjadi kerajaan.
“Tetapi dengan cadangan PAS, visi ini mungkin perlu disesuaikan dengan realiti perkongsian kuasa yang lebih ketara,” katanya.