
Semalam, Naib Pengerusi PAC Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menjawab segala persoalan diajukan dengan baik yang membuatkan prosiding itu dapat diselesaikan semalam.
Sim dipetik Berita Harian berkata kebanyakan ahli PAC gembira serta berpuas hati melalui prosiding itu, dengan beliau berpendapat tiada apa yang perlu disiasat memandangkan tiada isu tatakelola.
Mas Ermieyati dalam kenyataan hari ini pula berkata, jawatankuasa itu akan memanggil semula beberapa saksi dan bekas pengarah bebas MAHB kerana masih ada beberapa persoalan belum terjawab hasil keterangan saksi-saksi dipanggil sebelum ini.
“Jawatankuasa ini ingin menegaskan kenyataan naib pengerusi (Seputeh) dan Bayan Baru semalam adalah kenyataan peribadi dan tidak mewakili jawatankuasa ini.
“Ingin saya tegaskan semua dapatan, perbincangan dan dokumen dalam prosiding PAC tertakluk Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sepatutnya dimaklumkan kepada media oleh mana-mana pihak,” katanya.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dari Perikatan Nasional (PN) berkata, PAC masih belum memuktamadkan sebarang rumusan atau syor bagi penyata berhubung prosiding pengurusan lapangan terbang awam.
Semalam, Amir Hamzah dipanggil sebagai saksi bagi meneruskan prosiding PAC berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan (MoF), MAHB, Khazanah Nasional Berhad, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Enam prosiding sepanjang minggu ini, melibatkan bekas CEO MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin, CEO Hong Leong Investment Bank Berhad Lee Jim Leng, CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) Nik Amlizan Mahamed, CEO Permodalan Nasional Berhad Abdul Rahman Ahmad, CEO Bursa Malaysia Fad’l Mohamed, dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Zain Azhari Mazlan yang mewakili pengerusinya, Mohammad Faiz Azmi.
Prosiding berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam bermula pada minggu kedua Februari, dengan Mas Ermieyati pada 16 Feb dilapor berkata ia akan berlaku dalam tempoh yang panjang sebab banyak pihak dipanggil.
Beliau tidak menolak kemungkinan akan memanggil Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan beberapa individu penting.