
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, menegaskan perkara itu bukan sesuatu yang baru kerana Muhyiddin mencadangkannya pada 2020.

“Malah, cadangan mewujudkan majlis presiden PN oleh Muhyiddin dipersetujui semua ketua parti dalam PN sejak tahun 2020. Dalam mesyuarat sama, penubuhan sekretariat setiausaha agung parti-parti juga telah disepakati.
“Mengapa ketika itu tidak timbul isu ‘mencairkan’ kuasa?” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, majlis presiden juga adalah struktur serupa yang diamalkan Pakatan Harapan (PH).
“Kenapa ketika PH menubuhkan majlis presiden, tidak pula dianggap sebagai strategi licik DAP dan Amanah untuk ‘mencairkan’ kuasa Anwar Ibrahim sebagai pengerusi PH?” soalnya.
Terdahulu, FMT melaporkan Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berpandangan penubuhan majlis presiden PN dicadangkan PAS adalah strategi tersirat bagi mengurangkan pengaruh Muhyiddin dalam gabungan itu.
Pandangannya disokong penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Syahruddin Awang Ahmad, yang menyifatkan cadangan itu sebagai langkah strategik yang berpotensi mengubah dinamik kepimpinan PN.
Semalam, PAS mendedahkan cadangannya supaya PN mewujudkan majlis presiden dianggotai semua ketua parti dalam gabungan itu bagi menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan sekutunya iaitu Bersatu.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata fungsi majlis presiden sebagai platform rasmi bagi ketua parti gabungan membincang dan menyelesaikan isu dasar serta perkara yang tidak dapat diputuskan dalam majlis tertinggi.
“Ia juga berperanan sebagai ruang penyelarasan dan konsensus bagi hal berkepentingan bersama, sekali gus mengukuhkan kerjasama dalam gabungan.
“Penubuhan majlis presiden telah pun dipersetujui Majlis Tertinggi PN dan kini hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan. Tidak timbul soal ‘kuasa dicairkan’ kerana setiap presiden parti kekal sebagai pemegang kuasa eksekutif dalam parti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Yadzil Yaakub, mengakui cadangan tersebut sememangnya dipersetujui sebelum ini yang menggambarkan sikap inklusif PN bawah pentadbiran Muhyiddin.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tiada cadangan dan perbincangan mengenai penggiliran pengerusi PN.