Hormat proses pelantikan badan kehakiman ikut Perlembagaan, tegas Anwar

Hormat proses pelantikan badan kehakiman ikut Perlembagaan, tegas Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata beliau tidak pernah campur urusan keputusan mahkamah.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim seru semua pihak hormati proses pelantikan kehakiman, menjelang satu himpunan berkaitan pada 14 Julai. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri,Anwar Ibrahim menegaskan proses pelantikan kehakiman perlu dihormati semua pihak selaras Perlembagaan serta bidang kuasa yang ditetapkan.

Pada masa sama, Anwar berkata beliau menghormati kumpulan yang mahu menganjurkan himpunan berkaitan kehakiman pada Isnin.

“Itu keputusan dia (penganjur perhimpunan) tapi kita sudah jelaskan, peguam negara sudah jelaskan, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Azalina Othman Said jelaskan, malah Yang di-Pertuan Agong pun sudah jelaskan.

“Jadi kita ikutlah proses dan peruntukan Perlembagaan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Putrajaya.

Majlis Peguam dilaporkan akan mengadakan perarakan pada 14 Julai dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum menuntut tindakan segera bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.

Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab, dilaporkan berkata perarakan itu manifestasi kebimbangan semakin serius terhadap kekosongan jawatan utama kehakiman, kelewatan pelantikan serta dakwaan gangguan dalam urusan.

Himpunan itu juga akan turut disertai pemimpin pembangkang.

Mengulas lanjut, Anwar menyeru pihak yang berhasrat mengubah proses pelantikan kehakiman supaya mencadangkan pindaan pada Perlembagaan.

“Bidang ini kita ikut proses yang diamalkan selama ini,” katanya.

“Seperti mana saya sebut, saya lebih dua tahun setengah tidak pernah campur urusan keputusan mahkamah, itu yang saya ingat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.