Bukan tandus calon menteri, pangku tugas hingga lantikan baharu, kata PM

Bukan tandus calon menteri, pangku tugas hingga lantikan baharu, kata PM

Amir Hamzah dan Johari Abdul Ghani pangku tugas yang ditinggalkan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sehingga ada pelantikan baharu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan kepada pemberita pelantikan Amir Hamzah Azizan dan Johari Abdul Ghani untuk memangku tugas menteri lain. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan Amir Hamzah Azizan dan Johari Abdul Ghani untuk memangku tugas menteri lain bukan bererti kerajaan ketandusan calon pengganti.

Katanya, Amir dan Johari akan memangku tugas yang ditinggalkan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sehingga ada pelantikan baharu.

“Ada yang cakap ‘tidak ada orangkah kita nak pakai sampai kena ambil pemangku?’ Itu tak betul. Mereka hanya menjalankan tugas sehingga pelantikan baharu,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Putrajaya.

Amir yang juga menteri kewangan II memangku portfolio ekonomi, manakala Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi memangku portfolio sumber asli dan kelestarian alam.

Anwar berkata Amir dan Johari perlu diberi ruang dan peluang untuk memangku tugas dengan baik tanpa gangguan.

Katanya, pihak yang mempersoalkan perkara itu menunjukkan mereka gagal memahami proses perlantikan.

Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan susulan kegagalan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan PKR Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.