Asean gesa gencatan senjata segera di Gaza

Asean gesa gencatan senjata segera di Gaza

Sekatan berterusan terhadap akses bantuan kemanusiaan, bekalan bantuan dan keperluan asas lain menyebabkan krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

gaza
Menteri-menteri luar Asean ulangi sokongan berterusan pada hak asasi rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib dan memiliki tanah air sendiri. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Menteri-menteri Luar Asean zahir kebimbangan mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang semakin parah di Gaza, dan menggesa semua pihak selesaikan perbezaan melalui diplomasi dan perbincangan demi mengekalkan keamanan serta kestabilan.

Berdasarkan kenyataan bersama selepas Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean (AMM) ke-58, para menteri mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap orang dan kemudahan awam, yang mengakibatkan angka kematian membimbangkan, khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

“Sekatan berterusan terhadap akses bantuan kemanusiaan, bekalan bantuan dan keperluan asas lain telah menyebabkan krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

“Kami menggesa semua pihak berkaitan untuk menerima cadangan gencatan senjata seperti yang diperincikan dalam perenggan 2 Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735.”

“Kami menggesa supaya gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan serta pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan terutama wanita, kanak-kanak, pesakit serta warga emas. Kami menekan kepentingan pembebasan daripada sebarang penahanan sewenang-wenangnya,” menurut kenyataan itu.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula sejak 8 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” berakhir pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, semua menteri luar Asean menggesa semua negara anggota dan rakan kerjasama untuk terus menghulur dan memudahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Mereka turut menyatakan sokongan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dalam menunaikan tanggungjawabnya.

“Kami menyeru agar akses kemanusiaan yang pantas, selamat, tanpa halangan dan berterusan diberikan sepenuhnya kepada semua yang memerlukan, termasuk melalui peningkatan kapasiti di pintu sempadan dan laluan laut,” menurut kenyataan.

Selain itu, para menteri mengulangi sokongan berterusan pada hak asasi rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib dan memiliki tanah air sendiri.

“Sehubungan itu, kami menggesa semua pihak berkepentingan agar menggandakan usaha ke arah penyelesaian aman konflik terbabit, dengan matlamat merealisasikan penyelesaian dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB yang berkaitan.

“Hal ini termasuk Resolusi Perhimpunan Agung PBB A/RES/ES-10/23 mengenai Penyertaan Ahli Baharu ke PBB, bertarikh 10 Mei 2024, serta Resolusi Perhimpunan Agung PBB A/RES/ES-10/27 mengenai perlindungan orang awam dan pematuhan tanggungjawab undang-undang dan kemanusiaan, bertarikh 12 Jun 2025, dengan kami secara bersama-sama menyokong dan mengundi untuknya,” menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.