Asean bimbang penambakan tanah di LCS

Asean bimbang penambakan tanah di LCS

Para menteri luar Asean mengulangi komitmen blok itu pada keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, berikutan kebimbangan terhadap aktiviti penambakan tanah dan insiden serius yang berpotensi cetus ketegangan.

Beberapa negara anggota Asean bimbang mengenai aktiviti menggugat keselamatan maritim dan merosakkan ekosistem laut di Laut China Selatan. (Gambar Philippine Department of Foreign Affairs)
KUALA LUMPUR:
Menteri-menteri luar Asean mengulangi komitmen blok serantau itu pada keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, berikutan kebimbangan terhadap aktiviti penambakan tanah dan insiden serius yang berpotensi mencetuskan ketegangan di kawasan maritim yang menjadi pertikaian.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat susulan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean (AMM) ke-58 pada Rabu, mereka menyatakan beberapa negara anggota menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan yang sedang berlaku, termasuk aktiviti menggugat keselamatan maritim, merosakkan ekosistem laut serta menghakis kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan negara serantau.

“Kami membincangkan situasi di Laut China Selatan, dengan beberapa menteri menyuarakan kebimbangan mengenai penambakan tanah, pelbagai aktiviti, dan insiden serius yang berlaku di kawasan terbabit.

“Hal ini termasuk tindakan yang menimbulkan risiko kepada keselamatan semua individu, menjejaskan persekitaran laut, yang telah menghakis kepercayaan dan keyakinan, meningkatkan ketegangan, dan boleh mengancam keamanan, keselamatan, serta kestabilan di rantau ini,” menurut kenyataan.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan bermula Selasa di bawah Kepengerusian Asean Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, berakhir pada Jumaat.

Para menteri turut mengulangi kepentingan bagi mengamalkan sikap berhemah dan mengelak tindakan yang boleh mencetuskan atau memburukkan pertikaian, di samping menekankan penyelesaian aman konflik berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Mereka turut menekankan tindakan bukan ketenteraan dan menahan diri oleh semua pihak, selari Deklarasi Perilaku Pihak-Pihak (DOC) di Laut China Selatan 2002, serta menggesa agar DOC dilaksanakan sepenuhnya dan secara berkesan.

Para menteri turut mengulangi kepentingan keamanan, kestabilan dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, sambil mengakui kawasan itu sebagai sebuah zon keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan.

Blok serantau itu turut mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam rundingan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.

Sejajar dengan Garis Panduan bagi Mempercepat Pemuktamadan Awal CoC, para menteri menyatakan mereka menantikan satu persetujuan muktamad dapat dicapai yang selari dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS serta menekankan keperluan untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi rundingan.

“Menteri-menteri luar Asean juga menggesa agar langkah praktikal diambil bagi meredakan ketegangan serta mengelak risiko kemalangan atau salah perhitungan, di samping menekankan betapa pentingnya diplomasi pencegahan dan usaha membina keyakinan dalam kalangan semua pihak terlibat,” menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.