‘Amat sedikit’ tinggalkan Malaysia atas dasar tindakan afirmatif, kata Dr M

‘Amat sedikit’ tinggalkan Malaysia atas dasar tindakan afirmatif, kata Dr M

Bekas perdana menteri berkata walau mereka berhijrah ke negara lain tetapi ramai mahu kembali.

malaysia citizen orang awam
April lalu Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata negara berdepan masalah hijrah cendekiawan kritikal dengan 1.86 juta rakyat meninggalkan Malaysia dalam tempoh 50 tahun lalu.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum menyebabkan berlaku hijrah cendekiawan dari negara ini khususnya dalam kalangan bukan Melayu.

Mahathir berkata, walaupun terdapat rasa tidak puas hati terhadap dasar diperkenalkan kerajaan, ‘amat sedikit’ meninggalkan Malaysia disebabkan dasar tindakan afirmatif itu.

“Walaupun mereka telah berhijrah ke negara lain, ramai masih mengekalkan kewarganegaraan Malaysia kerana mereka mahu kembali.

“Inilah negara tempat mereka dibesarkan, dan mereka percaya bahawa, lama-kelamaan, keadaan akan kembali pulih,” katanya dalam wawancara bersama Bloomberg.

April lalu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Malaysia berdepan masalah hijrah cendekiawan kritikal, dengan 1.86 juta rakyat meninggalkan negara dalam tempoh 50 tahun lalu.

Gobind berkata, jumlah berkenaan mewakili 5.6% daripada jumlah penduduk — lebih tinggi berbanding purata global, 3.6%.

Namun, pada 3 Jun lalu, Talent Corporation Malaysia Bhd — agensi kerajaan ditugaskan menarik rakyat Malaysia pulang ke tanah air — memaklumkan permohonan Program Kepulangan Pakar meningkat 19% dari 2021 hingga 2024, dengan jumlah kelulusan juga meningkat 24% dalam tempoh sama.

Mahathir turut mempertahankan dasar tindakan afirmatif yang menurutnya diambil sebagai pengajaran daripada Amerika Syarikat, dengan menyatakan ia perlu memandangkan jurang ketidakseimbangan antara kaum Melayu dan Cina dianggap berbahaya dan berpotensi mencetuskan sengketa.

Beliau merujuk rusuhan kaum 1969, dengan mendakwa insiden itu berlaku kerana ‘orang Cina kaya malah dari segi politik, penguasaan Melayu telah terhakis”.

“Jadi, kami merasakan bahawa kami harus mengurangkan jurang perbezaan antara kaya dan miskin dalam kalangan orang Melayu dan Cina. Itulah sebabnya kami mengambil tindakan afirmatif,” katanya.

Hubungan dengan China

Mahathir turut menyatakan Malaysia kekal bertahan walaupun China kini menjadi kuasa besar dunia.

Beliau berkata, Malaysia perlu menerima hakikat China adalah negara berpengaruh dan ‘kita perlu mencari jalan untuk hidup bersama mereka’.

Dari segi pertikaian wilayah, Mahathir menegaskan Malaysia tidak menerima tuntutan Laut China Selatan adalah milik China.

Namun, beliau menambah walaupun Beijing membuat tuntutan, China tidak bertindak secara agresif dari segi penguasaan wilayah.

“Mereka tidak halang kapal daripada melalui kawasan itu, tidak periksa kapal, atau mengenakan sekatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.