SPRM sita kelab golf dalam siasatan rasuah pengarah syarikat

SPRM sita kelab golf dalam siasatan rasuah pengarah syarikat

Badan antirasuah itu turut menyita banglo, kondominium, premis pejabat, dan lot tanah dianggarkan bernilai RM620 juta.

macc sprm
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata suspek juga dipercayai pemegang saham dalam kelab golf tersebut.
PETALING JAYA:
Beberapa hartanah termasuk sebuah kelab golf disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap seorang pengarah syarikat disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.

Sumber SPRM berkata antara hartanah yang disita termasuk banglo, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf yang terletak di sekitar Lembah Klang berjumlah kira-kira RM620 juta. Empat kenderaan mewah bernilai kira-kira RM2 juta juga disita.

Katanya, suspek juga dipercayai pemegang saham dalam kelab golf tersebut.

“Sehingga kini, SPRM juga telah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan.

“SPRM juga membekukan sebanyak 72 akaun yang meliputi akaun persendirian dan syarikat berjumlah melibatkan nilai kira-kira RM390,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.

Pada 30 Jun lalu, SPRM menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar ‘Datuk Wira’ kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.

SPRM berkata siasatan awal mendapati wang tersebut disalurkan ke dalam sebuah syarikat milik suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an.

Kesalahan itu dipercayai berlaku pada tahun 2012 dan mempunyai kaitan dengan pinjaman bernilai RM400 juta bagi projek pembangunan rangkaian gentian optik.

SPRM melancarkan satu operasi khas yang dinamakan ‘Op Fibre’ pada Jun lalu, melibatkan serbuan di empat lokasi berasingan, termasuk kediaman dan pejabat suspek masing-masing di Selangor dan Kuala Lumpur.

Dilaporkan pengarah syarikat tersebut juga dipercayai merasuah CEO sebuah bank bagi meluluskan pinjaman bagi projek pembangunan rangkaian gentian optik tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.