Pearly-Thinaah bersama BAM hingga Olimpik LA 2028

Pearly-Thinaah bersama BAM hingga Olimpik LA 2028

Pasangan nombor tiga dunia itu mencapai kata sepakat selepas rundingan yang konstruktif.

pearly thinaah
Pearly Tan-M Thinaah dijadual beraksi di Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai, diikuti Terbuka China sebelum Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah kekal bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menandatangani kontrak baharu bersama badan induk itu sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Tengku Zafrul Aziz yang memaklumkan pasangan nombor tiga dunia itu mencapai kata sepakat selepas rundingan yang konstruktif.

“Saya ingin memaklumkan dan mengumumkan bahawa BAM dan beregu wanita negara kita, Thinaah dan Pearly, telah mencapai persetujuan mengenai isu kontrak mereka.

“Ia merupakan hasil perbincangan yang membina serta mencerminkan komitmen bersama demi masa depan badminton negara. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Thinaah dan Pearly atas kesungguhan mereka.

“Rundingan ini sangat positif dan berpandangan jauh,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Difahamkan, kontrak tersebut ditandatangani pada pukul 6.31 petang ini, namun perincian kontrak berkenaan tidak didedahkan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pasangan itu masih belum memperbaharui kontrak bersama BAM selepas tamat tempohnya pada Disember tahun lepas, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depan mereka bersama skuad kebangsaan.

Tengku Zafrul turut enggan mengulas berhubung laporan media yang mendakwa Pearly-Thinaah bakal menerima pakej bayaran sebanyak RM1 juta seorang setahun menerusi kontrak baharu mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang sewajarnya diberikan ganjaran yang setimpal.

“Mereka berhak untuk meminta. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak yang mahukan lebih kerana itu adalah perkara biasa. Cuma perlu ada rundingan dan penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Thinaah melahirkan rasa syukur atas sokongan berterusan Tengku Zafrul terhadap mereka berdua.

“Tiada pihak yang sengaja mahu melengahkan urusan kontrak. Ia berlaku kerana jadual kejohanan kami yang padat dan berturut-turut. Tetapi kini kami lega kerana semuanya telah dipersetujui, dan kami hanya mahu fokus ke hadapan,” ujarnya.

Pearly pula menyifatkan termeterainya kontrak baharu dengan BAM memberi kelegaan buat mereka untuk terus memberikan fokus penuh terhadap kejohanan-kejohanan besar akan datang.

Mereka dijadual beraksi di Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai, diikuti Terbuka China sebelum Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.