Konvoi motosikal jangan halang trafik, Bukit Aman beri amaran

Konvoi motosikal jangan halang trafik, Bukit Aman beri amaran

Polis berkata tindakan itu satu kesalahan di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

konvoi moto block jalan
Video tular yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal bergerak secara berkumpulan di Lebuhraya Utara-Selatan sambil dikawal beberapa individu memakai jaket keselamatan berwarna kuning.
PETALING JAYA:
Polis Bukit Aman memberi amaran kepada konvoi penunggang motosikal yang menghalang pergerakan kenderaan lain boleh dikenakan tindakan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri berkata mereka yang didapati bersalah mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh didenda RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak kurang daripada setahun, atau kedua-duanya sekali.

“Setiap pergerakan berkumpulan atau konvoi perlu dimaklumkan kepada pihak JSPT bagi tujuan penyelarasan kumpulan berkenaan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Sekiranya pergerakan konvoi bermotosikal tersebut tiada bantuan keselamatan daripada pihak JSPT, ia perlu mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan serta tiada penggunaan pengiring atau marshal dibenarkan untuk pergerakan secara berkonvoi,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.

Sebelum ini, tular video yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal bergerak secara berkumpulan di lebuh raya sambil dikawal beberapa individu memakai jaket keselamatan berwarna kuning.

Yusri berkata kejadian dipercayai berlaku di KM285 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berdekatan Nilai membabitkan pergerakan dari Kuala Lumpur ke arah selatan tanah air.

Beliau menegaskan semua pengguna jalan raya harus saling bertolak ansur semasa berada di jalan raya bagi memastikan kelancaran dan keselamatan bersama.

“Semua kenderaan yang bergerak perlahan hendaklah berada di lorong kiri dan tidak menghalang laluan kenderaan lain yang lebih laju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.