Helikopter polis kemalangan di Johor, 5 selamat

Helikopter polis kemalangan di Johor, 5 selamat

Pesawat itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi tadi.

Tangkap layar video tular kemalangan helikopter milik PDRM di Johor pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lima penumpang termasuk juruterbang helikopter jenis AS355N milik PDRM disahkan selamat selepas pesawat dinaiki terbabit kemalangan berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, helikopter dikendalikan seorang juruterbang itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dengan membawa empat penumpang.

“Semua lima mangsa diselamatkan Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor.

“Mangsa kini sedang dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor untuk pemeriksaan dan rawatan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

CAAM berkata, siasatan lanjut akan dijalankan Biro Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata kemalangan itu berlaku semasa pelaksanaan latihan keselamatan serantau.

Pesawat tersebut sebahagian daripada latihan amal pelbagai agensi sempena ‘nuclear security detection exercise’ Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025.

Kemalangan dilaporkan berlaku pada sekitar jam 10.25 pagi di kawasan jeti operasi APMM, Gelang Patah.

Helikopter itu membawa dua pegawai kanan dan tiga anggota polis termasuk juruterbang dari pasukan gerakan udara, Bukit Aman dan anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang.

Mangsa, terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.