
Beliau ketika berucap dalam majlis itu turut akui perasaan takut apabila umurnya mencecah tiga angka.
“Takut umur 100 tahun. Selalu dua angka. Saya sampai tiga angka.
“Kita sedar akhirnya di ‘sana’ juga. Saya berdoa ramai (yang) hadir (pada majlis ini) akan terus meningkat hari lahir yang ke-100,” katanya pada majlis kesyukuran dan doa selamat sempena ulang tahun kelahirannya.
Kira-kira 500 jemaah menghadiri majlis yang diadakan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.
Mahathir tiba bersama isteri Dr Siti Hasmah Mohamad Ali kira-kira jam 7.33 malam dan disambut ahli keluarga dan rakan-rakan.
Majlis itu juga diadakan sempena ulang tahun kelahiran Siti Hasmah yang bakal disambut pada 12 Julai.
Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin PN seperti Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Majlis bermula dengan solat maghrib dan diikuti bacaan yassin, tahlil serta doa selamat, dan diakhiri dengan jamuan.
Mahathir, anak bongsu daripada sembilan beradik, dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah.
Dikenali ‘Bapa Pemodenan’ Malaysia, beliau juga perdana menteri paling lama berkhidmat.
Mahathir menerajui kerajaan Barisan Nasional dari 1981 hingga 2003, dan menerajui kerajaan Pakatan Harapan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.